Tongkat ali ( Eurycoma longifolia)
Akar tumbuhan ini kerap digunakan sebagai tonik untuk memberikan tenaga dan tubuh badan yang sihat. Biasanya
akar tumbuhan ini direbus bersama daun dedawai (Smilax myosotiflora) dan akar pinanglalu diminum setiap hari. Air rebusan
ini juga digunakan untuk ubat meroyan, demam, cirit birit, sakit gigi, sakit kelamin, sakit tulang, sakit buah pinggang dan
malaria.
Daun tumbuhan ini boleh digunakan untuk merawat gatal-gatal akibat terkena ulat bulu. Daunnya boleh ditumbuk
dengan kunyit (Curcuma longa) dan beras lalu ditampal pada bahagian yang sakit. Air rebusan daun tumbuhan ini digunakan untuk
membasuh kulit yang gatal-gatal. Bagi mengubati demam, daun yang telah dihancurkan direndam, ditampalkan pada kulit kepala
untuk melegakan sakit kepala. Daunnya boleh juga digunakan bagi merawat batuk.
Kulit tumbuhan ini juga boleh digunakan untuk merawat bisul dan luka, dengan cara menumbuk kulit tumbuhan
ini dan ditampalkan di bahagian yang sakit. KUlitnya juga boleh mengubati batuk , caranya adalah dengan merendam kulit tumbuhan
ini dalam air mawar dan diminum dua kali sehari iaitu pagi atau petang. Buahnya jika dimakan mengubati sakit perut. Tongkat
ali juga boleh digunakan bagi mengubati busung, penawar bisa/racun dan merawat gusi berdarah.
Tumbuhan ini mengandungi bahan antimalaria iaitu glikosida kuasinoid, saponin dan juga alkaloid.